tengah hari tadi, secara kebetulan aku ketemu orang yang aku fikir tak akan jumpa lagi. dan paling pelik, aku tak rasa apa-apa. padahal dulu aku sering tertanya, apakah perasaan aku bila terserempak dengan lelaki silam. mungkin dulu aku mahu:
a) seperti mahu sembunyi dan berlalu pergi
b) kasi satu ayat tamparan dan berlalu pergi.
c) lebih baik, tampar sahaja mukanya dan berlalu pergi.
tapi semuanya tidak. aku rasa neutral. walaupun kami bersemuka dan terdiam hampir 5 minit sebelum bertanya khabar.
perbualan diplomasi antara kami seperti 'dari mana, beli apa, sekarang buat apa, tinggal di mana' boleh sahaja disoaljawab dengan senyuman. kemudian dia ajak aku minum secara kebetulannya lagi, tempat aku dan dia selalu pergi makan dahulu yang terletak kurang 10 langkah daripada tempat aku terpacak depan dia. dengan pantas aku jawab, tak apa terima kasih, aku minta permisikan diri.
kemudian aku nampak mukanya terus merah. riak wajah bila dia tidak puas hati, sama sahaja seperti dahulu sempat dia bersuara "lupakan kisah lama, aku nak ajak kau minum sahaja, tempat lama kita, lagipun kan hari ini hari valentines"
"tapi ini hari bukan untuk kau dan aku, dan kau pun tau aku dari dulu tak raikan hari valentines, aku pergi dulu" jawab aku yang sedang melangkah pergi.
seperti dalam drama melayu, lelaki silam menghalang langkahku, "boleh aku tahu, kenapa kau tinggalkan aku dulu? kau benci aku?"
aku macam air mengalir deras menjawab "kau tiada pada waktu-waktu aku paling rapuh, saat aku kehilangan arwah abah dan ibuku. aku tak pernah marah bila kau sibuk dulu tapi banyak kali aku cakap, jangan cuba beli aku dengan duit bila kau tak boleh bersama aku. aku letih mengingatkan aku tak nak harta kau, aku mahu kau sahaja. tapi kau lupa nilai kasih sayang. sampai kita tak sehaluan. oleh itu lebih baik aku pergi"
lelaki silam itu menghela nafas panjang "aku terasa serabut bila kau tak ada dan aku harap kau maafkan aku. betul kau cakap kita belajar menghargai bila kita kehilangan. kau tak marah aku lagikan? kau boleh terima aku lagi?"
"aku tak benci kau, tapi aku dah tak rasa sayang kau. aku tak rasa apa-apa dah. kau tak perlu minta maaf pun, sebab semua ini pengajaran untuk masa hadapan. terima kasih sebab berkongsi kasih tapi sudah lebih dua tahun kisah kita sudah bernoktah. aku harap kau faham." dan buat kali ketiga dan terakhir aku minta diri.
aku tak ingin berpaling memandang reaksinya lagi.
biarlah dia terus termaktub pada masa lampau aku sahaja. ya aku pernah kecewa dengan dia. tapi aku tak boleh benci dia, kerana aku pernah sayang dia. cuma jodoh tidak panjang. dan Allah itu Segala Maha. kerana Dia beri kita hati. nikmat paling kuat dalam diri kita. untuk rasa cinta, untuk rasa kecewa, untuk rasa bangkit, untuk kembali mencintai dan paling berharga, untuk merasakan yakin segala yang berlaku ada hikmahnya.
aku rasa hikmahnya hari ini, aku tak takut berhadapan dengan kisah silam aku dan aku sangat bersyukur dengan semua kasih sayang yang aku ada buat masa ini, dan aku berdoa sampai bila-bila, InsyaAllah.
** perbualan aku dengan lelaki silam dialih bahasa kepada 100% bahasa melayu dalam blog ini. memang dari dahulu, secara peribadinya, kalau aku dalam keadaan tegang, aku lebih lantang berbahasa inggeris....tak tahu kenapa.. err sekarang ini, bagaimana aku nak cerita pada kekasih aku tentang kisah ini. hendak dikhabarkan melalui corong telefon? kurang elok pula, lagipun dia sedang berada di kampung halaman. aku sedikit takut tapi aku tahu dia seorang yang rasional. atau aku patut diam sahaja sehingga dia baca blog ini?
No comments:
Post a Comment