agak payah bagi saya hendak tidak menyukai seseorang atau sesuatu pekara sekarang. saya mahu hati sedayanya telus. saya lebih bersifat neutral. luruh sudah semua rasa benci atau amarah dalam hati saya sejak ayah dan ibu meninggal dunia. saya buang semua rasa itu. saya benar-benar faham dengan konsep qada' & qadar bila Ilahi menjemput ayah dan ibu ke sisiNya.
saya baru faham perasaan marah atau negatif itu hanya sia-sia hingga saya tidak sempat memohon kemaafan dari arwah ayah. rasa kesal dan sedih seperti mahu pergi ke waktu lampau memohon maaf dari ayah. seperti mahu tidak akan menyakiti hati mereka lagi. sudah terlambat. saya harus menerima ujian hidup ini. saya hanya berdoa agar ayah dan ibu telah memaafkan saya kerana saya selalu menyakiti hati mereka dahulu. dan sejak itu, saya berjanji tidak akan merasa hitam dalam hati. oleh itu, saya mahu timbangkan pros & cons setiap pekara. semua ada baik & buruknya kan? kita takkan selamanya membenci. selamanya menyukai. dan yang pasti tidak semua kekal. jika ada peluang, perbaiki dan perelokkan sahaja.
namun begitu, saya tidak menafikan sesuatu sekiranya terlalu memudaratkan atau sudah tercatat dalam sunnah. jika terang tidak betul atau tidak elok, saya akan terus terang sahaja. jika saya salah, beri saya kenyataan yang benar supaya saya juga tidak terus terpesong. tapi ya, kita hanya boleh nasihat, keputusan? terletak pada diri sendiri dan berdoalah Allah memberkati setiap pilihan yang kita buat. ada yang baik dalam buruk. ada yang buruk dalam baik.
selagi boleh, saya akan menerima seseorang & sesuatu pekara walaupun kadangkala memeritkan. saya akan kenang dan hargai baiknya kemudian cuba padamkan yang hitam tentangnya. indah bukan keikhlasan dalam bermaaf-maafan?
dan saya berdoa agar semua ahli keluarga dan rakan-rakan saya lembut hati, memaafkan saya sekiranya saya pernah lukai samada zahir atau batinnya, saya tak mahu semua terus merasa keruh di hati. maafkan saya yang selalu terlepas pandang, tersilap kata dan menyukarkan kehidupan orang lain. maafkan saya ya?
lagipun bukankah kita semua manusia, mana boleh sentiasa sempurna. itu sifat mutlak Allah. bukan kita. tapi kita punya hati. punya akal. maka manafaatkanlah. usahalah cara terbaik. cara yang elok. tak guna jadi cerdik pandai, atau kaya raya jika kita tidak memanafaatkan kewujudan kita untuk kebaikan di muka bumi ini.
Hidup ini sebulatnya pinjaman dari Ilahi. Sekelip mata jika Ilahi mahu ambil semula apa yang dipinjamkan. Masih banyak lagi baki pinjaman dariNya. Dia pinjamkan ahli keluarga & sahabat-sahabat untuk saya. Dia pinjamkan saya akal dan hati untuk menilai baik dan buruk. Dia pinjamkan saya semua rasa dan daya. Dia pinjamkan saya kesihatan fizikal dan pelbagai kebolehan. Dia pinjamkan bumi dan langit untuk saya teruskan kehidupan. Alhamdulillah. Maka itu, saya harus bersyukur.
Hidup ini sebulatnya pinjaman dari Ilahi. Sekelip mata jika Ilahi mahu ambil semula apa yang dipinjamkan. Masih banyak lagi baki pinjaman dariNya. Dia pinjamkan ahli keluarga & sahabat-sahabat untuk saya. Dia pinjamkan saya akal dan hati untuk menilai baik dan buruk. Dia pinjamkan saya semua rasa dan daya. Dia pinjamkan saya kesihatan fizikal dan pelbagai kebolehan. Dia pinjamkan bumi dan langit untuk saya teruskan kehidupan. Alhamdulillah. Maka itu, saya harus bersyukur.
Ya Tuhanku, ku pohon, pinjamkan lagi sejuta ketenangan, sebelum tamat pinjaman hidupku dan dikembalikan pada Mu.
No comments:
Post a Comment